Memaparkan catatan dengan label soal jawab agama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label soal jawab agama. Papar semua catatan

Isnin, 7 Januari 2013

N3 Agama ~Lelaki Enggeris vs Syeikh~



Lelaki Inggris bertanya: "Kenapa dalam Islam wanita tidak boleh jabat tangan dengan Lelaki?" Syeikh menjawab: "dapatkah kamu berjabat tangan dengan ratu Elizabeth?
Lelaki Inggris menjawab: "Oh tentu tidak boleh! Cuma orang- orang tertentu saja yang dapat berjabat tangan dengan ratu."
Syeikh tersenyum & berkata: “Wanita-wanita kami (Kaum muslimin) adalah para ratu, & ratu tidak boleh berjabat tangan dengan Lelaki sembarangan (yang bukan mahramnya).”
Lalu si Inggris bertanya lagi, "Kenapa perempuan Islam menutupi tubuh dan rambut mereka?"
Syeikh tersenyum dan punya 2 coklat, ia membuka yang pertama terus yang satu lagi tertutup. Dia melemparkan keduanya ke lantai yang kotor.
Syeikh bertanya: “Jika saya meminta Anda untuk mengambil satu coklat, mana yang Anda pilih?"
Si Inggris menjawab: "Yang tertutup...”
Syeikh berkata: “Itulah cara kami memperlakukan dan melihat perempuan kami.”
Si Inggris menjawab: "Wow Islam is Amazing...”


Selasa, 6 November 2012

N3 Agama~Jatuh Talak Ketika Hamil~




SAYA pernah berkahwin dan bercerai semasa mengandung empat bulan. Dalam tempoh kehamilan saya itu, suami pernah bersama dengan saya.
Apakah berdosa sedangkan talak sudah jatuh? Sekarang saya sudah berkahwin dengan lelaki lain, adakah sah perkahwinan saya yang kedua itu? 
Suami banyak kali melafazkan cerai, tapi apabila dirujuk di pejabat agama, dia mengatakan melafazkan cerai kerana saya mengugut mencederakan diri.

Pejabat agama mengesahkan perceraian itu tidak sah kemudian barulah saya hamil.

Bukankah perceraian sah walau dalam keadaan apa pun? Bagaimana jika seandainya saya salah dan adakah anak yang saya kandungkan itu anak tidak sah?

RUHANI,
Selangor



PERCERAIAN ketika mengandung adalah sah. Tempoh iddah bagi perempuan mengandung yang diceraikan ialah sampai melahirkan anak. Apabila suami rujuk dalam tempoh itu, rujuknya sah dan kedua-duanya menjadi suami isteri.

Rujuk boleh berlaku dengan kata-kata dan juga perbuatan menurut sebahagian mazhab. Manakala mana-mana anak yang dilahirkan dalam tempoh perkahwinan yang sah dinasabkan kepada suami. Rasulullah sa.wa bersabda; “Anak adalah bagi (pemilik) hamparan. Bagi penzina pula ialah batu (al-Hajr).” (Bukhari dan Muslim)

Dalam kes di atas, puan sudah menyatakan bahawa perceraian yang didakwa tidak sah menurut pejabat agama. Ia hendaklah diterima dan sekiranya puan tidak berpuas hati ia perlu dirayu dan dibicarakan kembali.

Bagaimanapun, rayuan mungkin tidak dibuat, maka keputusan pejabat agama perlu diterima. Seterusnya apabila lahir anak dalam tempoh perkahwinan yang sah, anak hendaklah dinasabkan kepada suami puan sebagai bapa kepada anak berkenaan.

Perkahwinan kedua boleh berlaku apabila puan sudah diceraikan dan habis tempoh iddah dengan suami pertama. Bagaimanapun, apabila masih menjadi isteri orang atau dalam iddah, perkahwinan kedua menjadi tidak sah. Itu yang perlu dipastikan.


Harian Metro:2012/11/01


Khamis, 4 Oktober 2012

N3 Agama ~Subuh 'Gajah'~


SAYA kerap berjaga malam untuk mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan tugasan. Ia menyebabkan saya sukar bangun dan menunaikan solat Subuh esok hari.
Saya juga ada rakan yang mempunyai masalah sama, tetapi mereka dapat menunaikan solat Subuh sebaik saja terjaga daripada tidur walaupun matahari sudah terbit. 
Saya keliru adakah itu dibenarkan dalam Islam memandangkan terdapat waktu dilarang menunaikan solat termasuklah waktu selepas terbit matahari.

Mohon penjelasan Dr.

KELIRU, Sabah


SEBENARNYA Allah SWT menjadikan malam untuk berehat dan tidur bagi mengembali tenaga kita. Dengan adanya kerehatan tubuh menjadi sihat.

Apabila peraturan dan ketetapan Allah diubah, tentu ada akibatnya tersendiri. Itu sebenarnya yang berlaku kepada anak muda sekarang termasuk diri anda yang berjaga malam dan tidur siang.

Mungkin tidak cukup tidur apabila banyak pekerjaan perlu dibuat pada siang hari. Ini akan merosakkan kesihatan, pembelajaran dan pekerjaan anda nanti.

Sebenarnya, Allah sudah mengatur solat fardu supaya dapat menjaga jadual hidup kita sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya di muka bumi. Apabila kita lalai dalam menjadi hamba tentu ada akibat tertentu.

Mengenai solat Subuh yang dilaksanakan selepas waktu atau terbit matahari, terdapat beberapa pandangan, antaranya ia dibolehkan bagi melaksanakan kewajipan solat fardu itu.

Lebih-lebih lagi, apabila kita tertidur dan bukannya kerana saja malas bangun. Ketika terjaga, kita hendaklah segera melakukannya tanpa berlengah-lengah lagi. Dengan itu, dosa meninggalkan solat Subuh tidak terkena.

Bagaimanapun, amalan berjaga malam sehingga tidak dapat menunaikan solat Subuh dalam waktunya berdosa dan tidak sepatutnya diteruskan.

Solat Subuh itu wajib diqadak dan jangan diulang-ulang kesalahan berkenaan. Ubah tabiat tidur dan elak mengamalkan berjaga malam kerana ia tidak baik untuk kesihatan selain melalai menunaikan solat Subuh.

Allah berfirman mengenai ciri orang mukmin yang mendapat ganjaran syurga: “Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya, mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.” (Al-Quran, Surah al-Mukminun (23): 9-11).

Khamis, 13 September 2012

N3 Soal Jawab Agama ~Qada Solat 10 tahun~


BAGAIMANAKAH cara untuk qada solat yang ditinggalkan selama hampir 10 tahun?

AMIR,
Johor 

SETIAP umat Islam hendaklah menjaga solat pada setiap hari dan masa. Meninggalkan solat dikira berdosa besar. Sesiapa yang meninggalkan solat hendaklah bertaubat dan memohon keampunan Allah. 
Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa kita. Sebenarnya, qada solat tidak dapat menggantikan solat yang pernah ditinggalkan kerana masanya sudah luput kecuali kerana tidak sengaja atau tertidur.

Waktu solat ialah pada masa itu juga. Ada pendapat menyatakan solat itu tidak dapat diqadakkan lagi. Lebih-lebih lagi apabila sudah sampai 10 tahun lamanya.

Bagaimanapun, sekiranya solat yang ditinggalkan diqadakkan juga, ia tentu dapat menampung kelalaian lalu. Segala amalan baik tentu diterima Allah apabila datang daripada hati yang penuh ikhlas.

Justeru, qada solat boleh dilakukan sedaya yang mampu saja tanpa ada cara yang afdal. Anda juga boleh melakukan amalan sunat lain seperti membaca al-Quran, sedekah dan sebagainya bagi menampung dosa lalu.

N3 Soal Jawab Agama ~Puasa Sah Walaupun dalam Hadas Besar~


JIKA saya melakukan hubungan kelamin bersama suami pada malam bulan Ramadan lalu dan mandi hadas selepas subuh, adakah saya boleh meneruskan ibadah puasa pada hari itu?

SARA,
Kuala Lumpur 

HUBUNGAN seks atau bersetubuh antara suami isteri pada malam bulan Ramadan dibenarkan dalam Islam (al-Quran, al-Baqarah (2): 187). 

Puasa seseorang itu tetap sah walaupun berada dalam hadas besar dengan syarat sudah terlebih dahulu berniat untuk berpuasa pada malam itu.

Tidak menjadi syarat bagi orang yang berpuasa supaya suci daripada hadas. Perkara itu juga berlaku pada Rasulullah s.a.w seperti yang diriwayatkan: “Sesungguhnya Rasulullah dalam keadaan berjunub hasil bersama dengan isterinya semasa sampai waktu fajar (Subuh), kemudian baginda mandi dan berpuasa pada hari itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Bagaimanapun, lebih baik bagi setiap pasangan Muslim sekurang-kurangnya berwuduk sebelum tidur selepas perhubungan seks.

Itu amat baik dalam menjaga kesucian diri dan jiwa. Begitu juga, mandi hadas besar sebelum tidur sekiranya boleh berbuat demikian.

Selasa, 14 Ogos 2012

N3 Soal Jawab Agama ~3 Cara Banyar Kifarat Akibat Zina Di Bulan Ramadhan~


SEBELUM berkahwin dengan isteri, saya pernah berzina dengannya beberapa kali pada waktu siang bulan Ramadan.
Kini kami sudah bertaubat. Bagaimanakah kiraan kifarat ke atas saya jika saya tidak mampu berpuasa untuk tempoh yang lama itu? 
HAMBA ALLAH,
Kuala Lumpur 

Jawapan:

PERSETUBUHAN pada siang hari pada bulan Ramadan termasuk dalam perkara merosak dan membatalkan puasa. Puasa yang terbatal wajib diganti dan dibayar kaffarah.

Kaffarah puasa ada tiga peringkat iaitu (1) memerdekakan hamba mukmin sama ada lelaki atau perempuan, sekiranya tidak mampu, (2) hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut dan sekiranya mampu, (3) hendaklah memberi makan kepada 60 fakir atau memberi mereka 60 cupak makanan asasi yang boleh dijadikan fitrah seperti beras atau gandum.

Sekiranya ketiga-tiga itu tidak mampu dilaksanakan, kaffarah masih perlu ditunaikan apabila dia berkuasa melakukannya tanpa pengecualian.

Dalam keadaan tertentu, hanya diwajibkan ganti tanpa kifarat apabila: (1) Orang yang bersetubuh memasukkan kemaluan dalam faraj belum sampai had yang ditentukan, (2) Yang disetubuhi (perempuan), (3) Bersetubuh dalam keadaan lupa dan (4) Berkeadaan jahil ketika itu mengenai terbatalnya puasa dengan kelakuan itu.

 Sumber:Harian Metro 15/8/2012

N3 Soal Jawab Agama ~Jimak Siang Hari Di bulan Ramadahan~


SAYA pernah bersetubuh pada siang hari dalam bulan Ramadan tahun lalu. Saya membuat pilihan untuk memberi makan kepada 60 fakir miskin.
Tetapi di tempat saya, tiada fakir miskin. Bolehkah saya membuat kenduri di rumah saya dengan menjemput jiran? Atau bolehkah saya bungkus makanan yang berjumlah 60 bungkus dan diagihkan ke rumah jiran? 
Zack,
SELANGOR 

Jawapan:

BERSETUBUH pada siang hari di bulan Ramadan membatalkan puasa. Seorang lelaki yang batal puasa atas sebab bersetubuh hendaklah qada’ puasa yang terbatal itu dan membayar kaffarah (kifarat).

Kaffarah puasa ialah: 1. Memerdekakan seorang hamba jika mampu dan ada. Sekiranya tidak berkuasa, 2. hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut, dan 3. mengeluarkan 60 cupak beras kepada 60 orang fakir atau miskin dengan kadar secupak seorang.

Bagi mempermudahkan pembayaran itu, saudara boleh membayarnya di masjid di tempat saudara tinggal sekiranya yakin ia boleh sampai kepada fakir miskin.

Seterusnya saudara boleh membayar kaffarah di Pusat Pungutan Zakat. Mengadakan kenduri di rumah dengan menjemput jiran atau membungkus makanan untuk diagihkan ke rumah jiran tidak memadai terutamanya apabila mereka orang kaya dan berada.

Kaffarah itu hendaklah diterima oleh fakir atau miskin. 

N3 Soal Jawab Agama ~Hamil Tanpa Izin Suami~


SAYA seorang ibu yang kehilangan anak ketiga akibat penyakit genetik. Menurut doktor, setiap kali saya mengandung saya berisiko 25 peratus tetapi perkara itu boleh dikesan menggunakan kaedah amniosintosis (pengambilan air ketuban) pada seawal 12 minggu kehamilan.
Suami saya seolah-olah berputus asa dan tidak mengizinkan saya mengandung lagi kerana takut perkara sama berulang. Namun saya ingin cepat mengandung bagi mengubati hati saya kerana kehilangan arwah. 
Saya tetap yakin Allah Maha Pengasih dan Penyayang, Dia mendengar doa yang saya panjatkan kepada-Nya setiap hari dan saya yakin anak itu adalah rezeki.

Bolehkah saya mengandung tanpa keizinan daripada suami?

Ibu Runsing,
KUALA LUMPUR

Jawapan:

PENYAKIT keturunan atau baka (genetic disorders) berlaku atas sebab ‘kekurangan, terlebih, atau kecacatan gen dalam DNA orang yang terbabit.’ (http://ms.wikipedia.org/wiki/Penyakit).

Kemungkinan ia boleh diwarisi oleh anak. Bagaimanapun, kita hendaklah yakin semuanya datangnya daripada Allah dan anggaplah semuanya sebagai ujian daripada-Nya.

Puan sudah berjaya menghadapi cubaan itu dan hasrat puan untuk mengandung tanpa keizinan suami patut dielakkan. Ketaatan sepenuhnya kepada suami menjadi tanggungjawab isteri.

Ia adalah ujian Allah sehingga dapat melayakkan puan memasuki syurga Allah. Puan hendaklah berbincang dengan suami secara baik mengenai hasrat itu.

Bawa berbincang dengan pakar perubatan kerana ia dapat merapatkan hubungan suami isteri serta mungkin suami dapat bertolak ansur selepas mendapat khidmat nasihat.

Sumber: Harian Metro 15 Ogos 2012

Isnin, 27 Februari 2012

N3 Agama ~Hukum Guna Telefon Ketika Sembahyang Jumaat~




Persoalan:
APAKAH hukum menggunakan telefon bimbit ketika khutbah Jumaat. Persoalan ini timbul kerana sejak kebelakangan ini saya perhatikan ramai jemaah leka menggunakan telefon bimbit.
Memang tiada perbualan, tetapi nampaknya mereka lebih menumpukan perhatian kepada aplikasi di dalam telefon bimbit seperti permainan daripada menumpukan perhatian kepada isi kandungan khutbah. 


Jawapan:
KHUTBAH Jumaat berperanan untuk mengingatkan masyarakat Islam terutama kaum lelaki kepada Allah dan ajaran Islam yang disampaikan khatib setiap minggu.

Bagaimanapun, keadaan masyarakat yang makin sibuk dengan tarikan duniawi dan langit terbuka (globalisasi) menyebabkan mereka alpa untuk menghayati isi khutbah itu sendiri.

Ditambah pula apabila Jumaat adalah hari bekerja sudah tentu banyak urusan perlu dilaksanakan. Selain itu, sikap umat Islam sendiri yang mengambil ringan kewajipan solat Jumaat dan kandungan khutbah disampaikan.

Menggunakan telefon bimbit ketika khatib menyampaikan khutbah adalah bertentangan dengan adab mendengar khutbah.

Rasulullah menyuruh mereka yang hadir mendengar khutbah supaya diam dan khusyuk. Sabda Baginda “Jika engkau mengatakan kepada sahabatmu pada hari Jumaat ‘diam’ padahal imam pada ketika itu tengah berkhutbah, maka sesungguhnya engkau benar-benar berkata sia-sia.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perbuatan itu tidak sepatut
nya berlaku kerana mengakibatkan pelaksanaan kewajipan Jumaat tidak sempurna. Ganjaran keampunan Allah daripada Jumaat ke Jumaat seterusnya mungkin terlepas.