Ini kisah keluarga Bah Tan, seorang lelaki cina etnik Hokkien yang tinggal di sebuah kampung bernama Kampung Bunut Sarang Burung terletak di dalam kawasan jajahan Tumpat, di seberang Sungai kelantan. Kampung ini juga pernah digelar dengan panggilan 'Kampung Cina' kerana majoriti penduduk di kampung itu ramai yang berketurunan cina. Bah Tan menyara keluarganya dengan bertani dan bercucuk tanam, sebagaimana kebanyakan orang cina kampung yang lain. Dia hidup sederhana bersama isteri dan seorang anaknya yang masih kecil.
Pada suatu hari, kampung itu didatangi seorang ulama yang menyebarkan keindahan agama Islam kepada penduduk di situ. Ulama ini melayan semua orang dengan penuh mesra dan hormat, tanpa mengira bangsa atau keturunan, miskin mahupun kaya. Beliau amat disenangi oleh orang kampung, dan ramailah juga penduduk kampung yang tertarik untuk memeluk agama Islam.
Semakin hari, semakin ramai penduduk kampung memeluk agama Islam, termasuklah beberapa orang adik ipar Bah Tan. Mereka kerap berkunjung ke rumah Bah Tan, dan menceritakan kebaikan agama Islam kepada Bah Tan suami isteri. Isteri Bah Tan mula tertarik dengan agama yang baru didengarinya ini. Dia cuba memujuk Bah Tan untuk memeluk agama ini bersama-sama, tetapi Bah Tan tidak mahu menukar agamanya.
Akhirnya isteri Bah Tan memeluk Islam secara diam-diam. Bah Tan sungguh marah apabila mengetahui perkara ini. Isterinya dipukul dan diugut supaya kembali menganut ajaran nenek moyang mereka. Demi menyelamatkan diri dan akidahnya, isteri Bah Tan membawa anak perempuannya lari dan mendapatkan perlindungan di Istana Kota Bharu.
Bah Tan cuba datang ke istana untuk mengambil semula isteri dan anaknya, tetapi Sultan memberi kata dua; Bah Tan tidak akan dipaksa memeluk Islam, dan orang yang memeluk Islam tidak boleh kembali kepada agama asal. Jika Bah Tan tetap enggan memeluk Islam, bererti Maryam bukanlah isterinya lagi. Bah Tan tetap dengan pendiriannya. Dia pulang dengan hampa.
Bekas isteri Bah Tan dan anak perempuannya diberikan satu ruang berhampiran dapur istana untuk menginap. Di sini dia mula menggunakan nama Islamnya Maryam, manakala anaknya diberi nama Siti Hajar. Maryam bekerja sebagai pembantu tukang masak istana, sebagai tanda terima kasihnya kepada Sultan yang sudi memberikan jaminan keselamatan dan tempat kediaman.
Beberapa tahun kemudian, Siti Hajar semakin meningkat dewasa dan kecantikannya menjadi buah mulut orang ramai. Ramai lelaki yang berhasrat untuk menyuntingnya dijadikan isteri, tetapi dia memilih anak lelaki tukang masak istana sebagai suaminya. Pernikahan mereka diwalikan oleh Sultan, sebagai wali hakim. Siti Hajar dikurniakan dua orang anak perempuan, yang sulung diberi nama Siti Fatimah dan yang bongsu dinamakan Siti Aisyah.
Apabila dua beradik ini dewasa, Siti Aisyah berkahwin terlebih dahulu. Suaminya bernama Hasan, anak orang kaya Ibrahim dari pekan Tumpat yang bekerja sebagai pembuat kapal (bahtera layar). Mereka dikurniakan tiga orang anak, seorang perempuan dan dua lelaki. Sayangnya umur Siti Aisyah tidak panjang, dia meninggal dunia ketika sakit melahirkan anak yang keempat. Bayinya juga tidak dapat diselamatkan.
Anak-anak Siti Aisyah yang masih hidup bernama Aminah, Yusuf dan Muhamad. Aminah kemudiannya berkahwin dengan seorang kerani Pejabat Tanah dari Pasir Puteh bernama Yasin, dan mereka dikurniakan sembilan orang anak. Semasa kecil, anak perempuan Aminah yang dipanggil Ros, dikatakan mewarisi kecantikan moyangnya Siti Hajar. Tidak dapat dipastikan samada kenyataan itu adalah benar mahupun sebaliknya.
Apa yang anda baca di atas ini adalah kisah benar dan telah menjadi sejarah. Dari mana penulis tahu semua cerita ini? Siti Fatimah (cucu Maryam dan Bah Tan) sudah lanjut usia semasa ditemui penulis yang masih remaja ketika itu. Siti Fatimah adalah moyang saudara saya! Ros pula ialah ibu saya.
-----
Pada hari ini, majoriti penduduk Kampung Bunut sarang Burung adalah beragama Islam. Cuma ciri unik mereka ialah genetik keturunan cina yang masih kelihatan pada warna kulit mereka yang agak cerah, rambut hitam yang lurus dan mata yang kecil atau sepet.
Selamat Tahun Baru Cina kepada saudara-maraku disana , samada yang mengenali diri penulis ataupun tidak.
Selamat Tahun Baru Cina kepada saudara-maraku di
Dan semoga ulama yang tidak kukenali namanya itu dilimpahi rahmah dan maghfirah dari sisi-Nya. Aamiin yaa Ar'hamar-Raahimiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan