Selasa, 14 Ogos 2012

N3 Soal Jawab Agama ~Hamil Tanpa Izin Suami~


SAYA seorang ibu yang kehilangan anak ketiga akibat penyakit genetik. Menurut doktor, setiap kali saya mengandung saya berisiko 25 peratus tetapi perkara itu boleh dikesan menggunakan kaedah amniosintosis (pengambilan air ketuban) pada seawal 12 minggu kehamilan.
Suami saya seolah-olah berputus asa dan tidak mengizinkan saya mengandung lagi kerana takut perkara sama berulang. Namun saya ingin cepat mengandung bagi mengubati hati saya kerana kehilangan arwah. 
Saya tetap yakin Allah Maha Pengasih dan Penyayang, Dia mendengar doa yang saya panjatkan kepada-Nya setiap hari dan saya yakin anak itu adalah rezeki.

Bolehkah saya mengandung tanpa keizinan daripada suami?

Ibu Runsing,
KUALA LUMPUR

Jawapan:

PENYAKIT keturunan atau baka (genetic disorders) berlaku atas sebab ‘kekurangan, terlebih, atau kecacatan gen dalam DNA orang yang terbabit.’ (http://ms.wikipedia.org/wiki/Penyakit).

Kemungkinan ia boleh diwarisi oleh anak. Bagaimanapun, kita hendaklah yakin semuanya datangnya daripada Allah dan anggaplah semuanya sebagai ujian daripada-Nya.

Puan sudah berjaya menghadapi cubaan itu dan hasrat puan untuk mengandung tanpa keizinan suami patut dielakkan. Ketaatan sepenuhnya kepada suami menjadi tanggungjawab isteri.

Ia adalah ujian Allah sehingga dapat melayakkan puan memasuki syurga Allah. Puan hendaklah berbincang dengan suami secara baik mengenai hasrat itu.

Bawa berbincang dengan pakar perubatan kerana ia dapat merapatkan hubungan suami isteri serta mungkin suami dapat bertolak ansur selepas mendapat khidmat nasihat.

Sumber: Harian Metro 15 Ogos 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan