AGAK lama pelakon Norul Iman Abd Rahman atau mesra dengan panggilan Boy Iman, 32, menyepi diri. Apa yang diketahui, dia yang ‘menghilang ‘ selama ini menceburi pelbagai bidang perniagaan kerana minat dan jaminan masa depan. Namun baru-baru ini kelibat Boy Iman dilihat muncul semula di pentas lakonan.
Sudah setahun dia menandatangani kontrak menjadi residen artis di bawah MIG Productions Sdn Bhd selepas dilamar produser terkenal. Mejar David Teo untuk menyertai syarikatnya. Kini, di sebalik kesibukan menguruskan perniagaan, Boy Iman aktif dalam lakonan sama ada drama mahupun filem.
Menurut Boy Iman, dia menyepi diri bukan kerana merajuk tetapi mahu memberi tumpuan pada perniagaan diceburi. Katanya, dia begitu meminati bidang perniagaan dan sentiasa mengutamakan peluang yang datang. Jadi, beberapa tahun lalu, perniagaan diakui adalah fokus utamanya berbanding lakonan.
“Saya dapati, jika mahu menjadi usahawan berjaya perlulah berani mengambil peluang. Justeru, sukar untuk saya menolak rezeki berniaga itu melainkan mencubanya lebih dulu. Bagi saya, penting untuk menimba pengalaman biar pun ada kalanya terpaksa bersedia menghadapi kegagalan dalam perniagaan.
“Apapun, saya takkan pernah serik untuk terus berniaga. Malah, kini saya selesa melakukan dua karier serentak iaitu lakonan dan berniaga. Bahkan, bagi tawaran berlakon pastinya tertumpu pada MIG.
“Saya mendapat peluang beraksi dalam filem seperti Jangan Pandang Belakang Congkak, Bini-Biniku Gangster dan Aji Boy. Tidak ketinggalan, saya juga terbabit drama untuk TV3, Cinta Buat Emelda. Biarpun, watak diterima biasa dan sekadar pembantu tetapi saya menerimanya dengan hati yang terbuka,” katanya.
Boy Iman yang cukup dikenali ramai ketika zaman penerbitan VCD, pernah membintangi Block 404, Kem 505, Neurose Dwi dan Gosok. Namun, selepas era VCD seakan-akan suram, ia turut memberi impak pada namanya kerana makin tenggelam. Sejak itu, dia mula memberi tumpuan kepada perniagaan.
Berbicara lanjut mengenai kemunculan semula itu, katanya ia bagi mengisi kerinduan hati untuk beraksi di set penggambaran. Ditambah lagi, David turut memberi tawaran untuk berlakon. Jadi, mengapa pula hendak melepaskan peluang yang sudah ada depan mata dan tiada salahnya kembali aktif.
Jika dulu susuk tubuhnya agak kurus, Boy Iman kini makin berisi. Ditanya apakah dia sudah mendirikan rumah tangga dan berkeluarga, tanpa berselindung dia mengakui. Ujarnya, dia selamat diijabkabulkan dengan wanita pilihan dari Melaka, Kumala Dewi Anas, 34, pada 11 November, tahun lalu.
“Saya mengenali isteri selama enam tahun dan tempoh itu cukup membuatkan kami selesa dan serasi bersama. Saya pun tidak kisah dengan status Kumala yang juga ibu tunggal ketika itu. Ia memang sudah jodoh kami dan saya juga menerima kehadiran anaknya hasil perkahwinan lalu dengan sepenuh hati.
“Selain itu, status ibu tunggal atau anak dara bagi saya tidaklah begitu penting. Apa yang menjadi keutamaan sejauh mana keserasian kami apabila keluar bersama. Jujur saya akui, sepanjang kami menjalin cinta, Kumala cukup memahami diri saya dan dia juga memiliki minat sama dalam perniagaan,” katanya.
Menurut Boy Iman lagi, majlis resepsi perkahwinannya bagaimanapun masih belum dibuat. Malah, jika tiada aral majlis itu dirancang penganjurannya pada April nanti sempena melancarkan perniagaan baru.
Katanya, dia dan isteri menjalankan perniagaan produk makanan kesihatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan