PUTRAJAYA: Sikap degil penternak lembu persendirian yang membiarkan ternakan mereka berkeliaran di sekitar Taman Industri Mas Sepang, Puchong, Selangor, dekat sini, menerima padah.
Ini berikutan tindakan tegas Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) yang menjalankan operasi menangkap ternakan itu di kawasan berkenaan dalam operasi dua jam bermula 12 tengah hari, kelmarin.
Pengarah Penguatkuasa MPSepang, Superintendan (K) Mohd Azran Musa berkata, operasi membabitkan tujuh anggota itu dilakukan selepas mendapat aduan orang ramai terutama pengguna jalan raya yang bimbang keselamatan mereka.
Menurutnya, dalam operasi itu pihaknya menangkap 10 lembu dan mengeluarkan kompaun bernilai lebih RM2,000 kepada pemilik yang menuntut ternakan berkenaan mengikut Enakmen Lembu dan Kerbau 1971.
“Selepas ternakan itu ditangkap, ada di kalangan pemilik merayu supaya tidak dikenakan kompaun, tetapi kami bertindak tegas supaya kejadian sama tidak berulang.
“Pada masa sama, kami meminta pemilik ternakan itu menanggung kos tangkapan sebelum memulangkan semula kepada mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Mohd Azran berkata, pihaknya menjalankan operasi tangkapan itu selepas beberapa amaran yang diberikan kepada penternak terbabit tidak diendahkan, malah masih mengulangi kesalahan berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan