Jumaat, 16 Mei 2014

Hukum Buka Facebook Masa Bulan Ramadhan

Apa agaknya hukum menziarahi dan bertandang di Facebook semasa bulan Ramadan? Mungkinkah hukumnya haram? Atau barangkali juga makruh? Jika ia haram, apa yang akan berlaku terhadap puasa kita, dan jika ia makruh apakah mungkin ia akan memberi kesan terhadap pahala puasa kita?

Sebelum kita membuat sebarang kesimpulan berkenaan aktiviti ini, adalah baik sekiranya kita memahami terlebih dahulu tentang Ramadan itu sendiri dan apa yang diharapkan oleh agama Islam terhadap umatnya. Apakah sebenarnya pandangan Allah terhadap bulan Ramadan.

Di hujungnya nanti, barulah akan kita akan faham di mana letaknya Facebook dan yang seangkatan dengannya di sisi Ramadan.

Pada suatu ketika pada bulan Syaaban dan ia merupakan hari yang terakhir dalam bulan Syaaban berkebetulan ia merupakan hari Jumaat, Rasulullah SAW menyampaikan khutbah Jumaat kepada umat Islam yang berkaitan dengan Ramadan. Ujar Baginda SAW, Ramadan merupakan bulan yang agung kerana di dalamnya sarat dengan keberkata dan salah satu malamnya, mempunyai nilai yang jauh lebih baik berbanding seribu bulan.

Padanya bulan itu terdapat kewajipan pelaksanaan puasa. Dalam khutbah berkenaan juga, Rasulullah SAW turut menyebut tentang ganjaran-ganjaran yang bakal diraih oleh individu Muslim yang melaksanakan ibadah fardu dan amalan-amalan sunat (Mafhum Hadis yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi).

Manakala dalam sebuah Hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, antara mesej yang hendak disampaikan ialah fahaman bahawa setiap amalan yang dikerjakan oleh manusia itu adalah untuk dirinya sendiri (manfaatnya adalah untuk yang melakukannya). Walau bagaimanapun, puasa itu adalah untuk  Allah SWT.

Apabila disebut ia adalah “untuk Allah”, bermakna puasa itu merupakan suatu persembahan makhluk ataupun hamba kepada Pencipta atau Tuhannya. Manifestasi ketundukan, kepatuhan atau ketaatan oleh seorang hamba yang tidak punya sebarang daya kecuali dengan izin Tuhannya.

Ibarat seseorang yang ingin memberi hadiah kepada orang yang dikasihi, tentulah ia akan memilih barangan yang hebat dan berkualiti tinggi untuk dijadikan sebagai hadiah dan persembahan kepada orang yang disayangi. Maka, sewajarnya kualiti puasa yang akan dipersembahkan kepada Allah SWT adalah puasa yang berkualiti tinggi.

Jika logam emas mempunyai  gred-gred yang tertentu, sedangkan  emas itu sendiri sudah merupakan logam yang bernilai tinggi, begitulah analoginya untuk puasa, yang kita bicarakan di sini puasa dalam bulan Ramadan.

Menurut Imam al-Ghazali dalam kitab beliau, Ihya Ulumuddin, terdapat tiga tingkat  puasa iaitu, iaitu puasa umum, puasa khusus, dan puasa khusus yang lebih khusus lagI. Puasa umum berada di tingkat yang paling bawah iaitu puasa yang sekadar menahan diri dari makan, minum dan perbuatan yang menyebabkan terbatalnya puasa.

Manakala puasa khusus pula (tingkat kedua), di samping menahan perkara-perkara yang dinyatakan tadi, turut memelihara seluruh anggota tubuh dari perbuatan maksiat atau tercela. Ataupun, menahan diri daripada melakukan perkara yang boleh mengurang atau menghilangkan pahala puasa.

Sementara puasa khusus yang lebih khusus (tingkat teratas) adalah menahan hati dari segala hasrat yang sia-sia dan bertahan daripada memikirkan perkara-perkara yang bersifat duniawi semata-mata. Tidak ada perkara yang difikirkan dan dihayati melainkan Allah SWT sahaja.

Kembali kepada persoalan utama tentang lawatan ke Facebook yang sebenarnya boleh juga digunakan dalam mencari rumusan tentang sebarang aktiviti di internet dalam bulan Ramadan. Setelah difahami tentang ketiga-tiga tingkatan puasa, atau tiga jenis kualiti puasa, maka di sinilah kita akan hubung kaitkan dengan aktiviti  “berziarah” dan “bertandang” ke laman-laman sosial di internet--tentang implikasinya terhadap puasa  yang sedang dilaksanakan.

Sebenarnya, jika lawatan kita ke internet itu menyebabkan kita melihat perkara-perkara yang ditegah, tentunya ia akan mengurangkan bahkan barangkali melupuskan pahala puasa, bahkan, kita mungkin akan mendapat dosa sekiranya mata kita melihat atau melayari perkara-perkara maksiat.

Selagi apa yang wujud dalam internet itu tidak menyebabkan puasa kita terbatal, maka puasa kita tetap sah tetapi ia sesuatu yang tidak menguntungkan kita, sedangkan sebagai umat Islam kita amat disarankan untuk mengumpulkan pahala sebanyak mungkin ketika dalam bulan Ramadan.

Pada saya, Facebook ialah perkampungan maya, setiap pemilik akaun merupakan tuan rumah dan friends adalah jiran-tetangga. Dalam perkampungan maya ini, terdapat “kedai”, “tempat hiburan”, “berita atau maklumat terkini”, “bank resepi” dan pelbagai bentuk informasi. Kita bebas menyapa jiran-tetangga, begitu juga sebaliknya.

Seperti dalam kehidupan realiti, kita juga bebas untuk berkomunikasi dengan orang sekeliling. Persoalannya, apakah bahan yang dijadikan sebagai bahan bualan? Apakah bahan-bahan yang boleh meningkatkan kualiti iman atau, sebaliknya adakah kita berbual tentang hal yang sia-sia?

Dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan juga Muslim, Rasulullah SAW memberi amaran kepada umat Baginda yang sedang menjalani ibadah puasa dengan mengatakan bahawa terdapat lima cara pahala puasa musnah sama sekali iaitu dengan berbohong, mengumpat, mengadu domba, bersumpah palsu dan melihat sesuatu dengan hawa nafsu.

Tentu kita tidak menafikan bahawa semua aktiviti yang dinyatakan oleh Baginda Rasulullah SAW ini boleh berlaku dalam Facebook dan yang seangkatan dengannya.

Facebook merupakan medium semata-mata, tetapi manusialah yang akan menjadikan ia sebagai sesuatu yang boleh memangkinkan pahala ataupun sebaliknya. Telah pun dinyatakan sebelum ini bahawa Facebook ibarat sebuah kampung dalam bentuk maya.

Jika kita seorang yang cintakan agama, tentunya kita akan mencintai puasa kita dan seterusnya kitalah yang akan menjadikan suasana akaun Facebook yang dimiliki sebagai suasana yang memelihara pahala puasa. Bukankah kita boleh mewujudkan sebuah perkampungan yang mesra Ramadan?

Pilihlah jiran-tetangga yang akan mempunyai jiwa yang mencintai Islam, tentunya kita tidak akan gundah dengan pahala puasa kita. Ini kerana, status-status yang akan kita baca di halaman rumah kita hanya status yang baik-baik.

Akan wujudlah perkampungan yang akan saling ingat-mengingati. Perkampungan maya yang baik akan mempengaruhi pemikiran yang baik dari semua aspek termasuklah untuk menghargai masa yang ada. Contoh yang mudah adalah, pada setiap hari Jumaat akan ada pemilik akaun yang mengemas kini statusnya dengan menyatakan kebaikan membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat. Status sebegini sebenarnya mampu memberi pengaruh kepada friends dan menarik friends untuk membaca al-Quran.

Ujar Rasulullah SAW, “Perumpamaan teman yang baik, ibarat seorang penjual wangian. Ada kalanya engkau diberinya atau membeli daripadanya atau beroleh bau wanginya. Dan, perumpamaan sahabat yang jahat ibarat peniup tukang besi, ada kalanya engkau terbakar dengan percikan apinya atau terkena bau busuknya” (Hadis riwayat Bukhari).

Maka, untuk merumuskan apakah hukumnya melawat Facebook semasa Ramadan, hukumnya ada pada diri kita.Tepuk dada, tanyalah iman.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan