Ahad, 6 Julai 2014

BENDA yang tidak harus dipakai ketika bersenam



Nur Safina Othman (TUPAI.COM.MY)

FABRIK KAPAS

Elakkan daripada memakai pakaian senaman yang diperbuat daripada fabrik kapas 100 peratus. Walaupun ia mungkin pilihan yang selesa dan dingin, namun kapas akan menyerap kelembapan dan apabila ia kering perlahan-lahan, anda akan terasa seperti peluh melekat pada badan anda. Selain daripada itu, ia akan menyebabkan jerawat atau kegatalan kulit. Pilih pakaian senaman yang diperbuat daripada fabrik sintetik dan nipis yang direka khas untuk menghalang peluh melekat pada kulit.

PAKAIAN SENAMAN MENGGELEBER

Pakaian yang menggeleber atau besar memang selesa lebih-lebih lagi ketika bersenam, tetapi ia juga mungkin menyebabkan tersangkut pada alat senaman atau menyukarkan anda melakukan pergerakkan. Ini boleh menyebabkan kecederaan pada badan anda. Tidak perlu memakai pakaian senaman yang diperbuat daripada spandeks, tapi pastikan ia mengikut badan dan tidak terlalu menggeleber.

KASUT SUKAN YANG TIDAK DALAM KEADAAN BAIK

Pemilihan kasut sukan amat penting kerana ia perlu memberi sokongan yang diperlukan ketika bersenam. Jika anda masih memakai kasut koyak atau tapak kakinya sudah tertanggal, sudah tiba masanya anda mendapatkan yang baru kerana kasut lama mungkin mendatangkan kecederaan atau ketidakselesaan. Menurut jurulatih peribadi Melissa Paris, jika anda berlari dua hari seminggu, sepasang kasut baru setiap setahun sudah mencukupi. Namun jika anda berlari enam hingga tujuh hari seminggu, anda harus menggantikan kasut sukan anda setiap tiga bulan.

BRA SUKAN YANG TIDAK BERI SOKONGAN

Ini sangat penting buat semua wanita yang bersenam. Jika baju dalam atau bra sukan anda tidak memberi sokongan yang diperlukan ketika bersenam, pasti anda tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya kerana berasa tidak selesa dan kurang yakin. Pemilihan bra sukan yang baik akan melindungi ligamen dan tisu pada dada anda daripada meregang berlebihan. Pastikan bra yang dipilih bersesuaian dengan aktiviti senaman yang anda ingin lakukan dan memberi keselesaan.

AKSESORI

Elak daripada memakai aksesori tergantung atau terkeluar seperti subang, gelang, cincin dan sebagainya yang mungkin akan menyebabkan ia tersangkut dengan mana-mana alat senaman. Ia bukan sahaja tidak selesa, malah mungkin akan menyebabkan aksesori anda rosak. Letakkan aksesori anda di dalam beg atau loker simpanan sebelum memulakan senaman.

MINYAK WANGI DAN LOSYEN

Ya, bersenam akan mengeluarkan peluh yang mungkin akan memberi bau kurang menyenangkan. Namun tidak bermakna anda perlu memakai minyak wangi dan losyen untuk menutup bau tersebut. Ini kerana bau minyak wangi yang kuat dan campuran peluh mungkin akan membuat anda sakit kepala. Malah penggunaan losyen juga boleh membuatkan kulit anda licin dan mungkin menyukarkan anda memegang alat senaman. Ia juga boleh mendatangkan kegatalan pada kulit anda. Cukuplah dengan pemakaian deodoran sahaja sebelum bersenam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan