PROJEK mercu tanda Kuala Lumpur, KL Eco City yang dibangunkan Kumpulan SP Setia Bhd (SP Setia) dijangka siap dalam tempoh 10 tahun lagi dengan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhannya berjumlah RM6 bilion.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya SP Setia, Tan Sri Liew Kee Sin berkata, KL Eco City adalah projek pembangunan bercampur di kawasan seluas 9.6 hektar merangkumi unit kondominium mewah, pejabat korporat, masjid serta ruang letak kereta bertingkat.
“Perbincangan projek ini dimulakan 11 tahun lalu dengan pihak kerajaan bagi membangunkan KL Eco City yang terletak di Jalan Bangsar bertentangan pusat beli-belah Mid Valley atau dikenali sebagai Kampung Abdullah Hukum, Kuala Lumpur.
“Projek ini dimulakan dengan membangunkan fasa infrastruktur sebelum pembangunan fasa pertama yang mengandungi tiga menara kediaman yang dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi,” katanya pada majlis pelancaran projek itu oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di Kuala Lumpur, semalam.
Pada majlis itu juga, SP Setia menandatangani perjanjian Kemudahan Pembiayaan Islam Bersindiket bernilai RM460 juta yang disediakan tiga institusi kewangan Islam yang akan digunakan bagi tujuan pembiayaan infrastruktur antaranya cadangan membina hab pengangkutan stesen komuter KTM di kawasan projek itu sendiri.
Bank yang terbabit ialah HSBC Amanah Malaysia Bhd, Hong Leong Islamic Bank Bhd dan Bank Mualamat Malaysia Bhd
Liew berkata, KL Eco City bakal menjadi pembangunan hijau bersepadu pertama di negara ini dengan menyasarkan mencapai taraf Indeks Bangunan Hijau Malaysia serta persijilan Kepimpinan Tenaga dan Alam Sekitar (LEED) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
sumber: Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan